Monday, March 12, 2018

Adab Wanita Islam Dalam Iddah Yang Wajib Diketahui Yang Ramai Tak Tahu

Assalamualaikum wbt,

Apa khabar sahabat fiezabard yang dikasihi? Saya doakan anda dilindungi Allah dan dikurniakan keberkatan dunia akhirat.

Baru-baru ini saya diberi rezeki kesihatan dan masa untuk bersama-sama jemaah AlMustaqqim ke kuliah dhuha special.

Sebab apa special? selama saya mengikuti kuliah dhuha lebih kurang 10 tahun  di Surau AlMustaqqim ni, penceramah kami adalah Ustazah Syarifah selaku ustazah tetap kuliah dhuha kami. Memang tak jemu mendengar kuliah Fardhu Ain Muslimah ustazah setiap 2 minggu sekali di Surau AlMustaqqim.

Tapi kali ini, kuliah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Misbah iaitu suami kepada Ustazah Syarifah kerana kali ini tajuknya lebih mencabar. Ustaz Misbah biasanya berceramah di surau kami setiap minggu jumaat malam sabtu.

Atas permintaan jemaah Muslimah, Alhamdulillah ustaz bersetuju untuk memenuhi undangan kami khas untuk merungkaikan satu isu yang dipandang remeh sekarang ni.


"ADAB SEMASA BERADA DALAM TEMPOH IDDAH"

๐ŸŒบ Pengertian Iddah?

Garis panduan beriddah bagi wanita yang bercerai atau kematian suami sebagai panduan dan rujukan kepada masyarakat Islam dalam kalangan wanita berkaitan batas hukum dan adab semasa berada dalam tempoh Iddah menurut hukum syarak.

๐ŸŒบ Istilah Fuqahah (Para Ulama)

Masa Iddah ialah sebutan atau nama suatu masa di mana seorang wanita menanti atau menangguhkan perkahwinan setelah ia ditinggalkan mati oleh suaminya atau setelah diceraikan baik dengan menunggu kelahiran bayinya atau berakhirnya beberapa quru' atau berakhirnya beberapa bulan yang sudah ditentukan.

๐ŸŒบ Quru'

Masa menunggu/menanti bagi seseorang wanita iddahnya.

Hukum Iddah

๐ŸŒบ Hukum Iddah menurut syarak

Wajib ke atas wanita yang bercerai atau kematian suami.

๐ŸŒบ Hukum Berkabung menurut syarak

Wajib ke atas wanita yang kematian suami sahaja!.

Manakala, bagi saudara-mara, anak pinak, cucu-cicit harus berkabung hanya 3 hari sahaja.

Sumber Hukum

Hukum-hukum ini diambil dari nas dan dalil-dalil sahih iaitu Surah Al-Baqarah ayat 228, Surah Al-Talaq ayat 1 dan 4 dan hadis Ibnu Majah.


Maaf, photo kurang jelas sebab ambil direct dari screen slide ustaz.


Apa Hikmah Adanya Hukum Iddah?

๐ŸŽ Untuk memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu. Tujuannya untuk mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami terbaharu dikahwininya.

Cantiknya Islam dalam menjaga zuriat dan asal-usul keturunan.

๐ŸŽ Untuk Iddah Talak Raj'ie (Talak yang boleh dirujuk), 
hikmahnya sebagai ruang kepada suami dan isteri untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan kesilapan yang telah dilakukan termasuk kesan daripada perceraian yang berlaku untuk kembali rujuk kepada isterinya.

๐ŸŽ Bagi wanita kematian suami tempoh iddah tersebut sebagai:
tempoh berkabung bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu.
tanda menjaga hak suami dan tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya.


Ustaz Misbah menerangkan secara terperinci hal-hal Iddah dan tak jemu melayan persoalan-soalan dari jemaah.


Antara jemaah muslimah yang hadir. Khusyuk mendengar pencerahan ustaz.


Para jemaah muslimin juga turut hadir memandangkan hal iddah ini bukan saja wanita perlu tahu hak-haknya. Kaum lelaki juga perlu tahu apakah tanggungjawab mereka dan batas-batas mereka dalam hal iddah ini.


Alhamdulillah, walaupun saya terlambat 5 minit menghadiri kuliah, Allah beri rezeki saya duduk di barisan hadapan, berhadapan dengan ustaz. Dalam mana-mana majlis ilmu saya suka duduk di barisan hadapan. Para ilmuwan pesan, duduk di hadapan lebih mendapat keberkatan guru. Insya Allah.
(Saya bertudung hijau, no 3 dari kanan)



Antara muslimah yang hadir. Ramai juga hadir kuliah kali ini. Tekun kakak kita ambil nota.

2 Jenis Iddah

1) Iddah kerana diceraikan
2) Iddah kerana kematian suami



Tempoh Iddah Wanita Yang Diceraikan

1) 3 X suci dari haid
✅ dicerai
✅ pernah disetubuhi
✅ tidak mengandung

2) 3 Bulan
✅ dicerai
✅ telah putus haid (menopous)
✅ sudah tua
✅ wanita tiada haid

3) Hingga Lahirkan Anak
✅ diceraikan dalam keadaan mengandung

4) Tiada Iddah
✅ diceraikan
✅ tidak pernah disetubuhi oleh suaminya

Wanita diceraikan suami dengan talak raj'ie ( talak 1 dan 2 ) boleh dirujuk semula.

Beza menutup kulit dan menutup aurat?

Ustaz ada bawa isu, ada seorang muslimah di sebuah busana muslimah menyoal, Apa beza menutup kulit dan menutup aurat?

Ustaz jawap : sekiranya kita pakai kain nipis pun dikira menutup kulit. Tapi menutup aurat tidak dikira sekiranya kain yang menutup itu nipis hingga menampakkan warna kulit dan bentuk tubuh. Sedangkan yang wajib adalah menutup aurat.

Hak-hak isteri yang telah diceraikan dalam tempoh iddah
1) Dalam tempoh iddah suami wajib menyediakan tempat tinggal
2) Wajib menyediakan makan dan minum untuk bekas isteri

Sila tonton Video yang dikongsikan di bawah ini untuk lebih jelas.

1) VIDEO 1 (SILA KLIK)

2) VIDEO 2 (SILA KLIK)


Tempoh Iddah Wanita Kematian Suami

Ada 4 situasi yang berbeza untuk Iddah kematian suami

Situasi 1:

Selepas Cerai Raj'ie, Kematian Suami, Tidak mengandung
✅ Ada haid @ tiada haid
✅ Tempoh Iddah : 4 bulan 10 hari
✅ Kiraan Iddah bermula pada tarikh kematian.

Situasi 2:

Talak Ba'in (talak 3, tidak boleh rujuk), Kematian Suami, Tidak mengandung, 
✅ Ada haid @ tiada haid
✅ Tempoh Iddah : 3 X suci @ 3 Bulan
✅ Kekal Iddah asal iaitu Iddah Talak Ba'in. Iddahnya tidak bertukar kepada Iddah kematian suami

Situasi 3:

Kematian Suami , Telah disetubuhi atau belum disetubuhi, Tidak mengandung
✅ Ada haid @ tiada haid
✅ Tempoh Iddah : 4 bulan 10 hari
✅ Wanita yang kematian suami bukan saja wajib ber'iddah malah wajib juga berkabung

Situasi 4:

Kematian Suami, Mengandung
✅ sedang mengandung
✅ Tempoh Iddah : sehingga melahirkan anak atau kandungan gugur
✅Tamat Iddah selepas melahirkan sama ada anak hidup atau mati atau keguguran yang telah membentuk janin atau sekadar segumpal darah menurut pakar itu adalah kandungan sebenar.

Kiraan Masa Iddah



๐ŸŒบ Masa Iddah secara syariat agama dihitung dari terakhir kali berhubungan badan dengan suami dan dalam keadaan suci

๐ŸŒบ Misalnya ketika terakhir bersetubuh lalu esok harinya isteri mendapatkan haid maka perhitungan masa Iddah dimulai ketika isteri sudah suci dari haid.

๐ŸŒบ kiraan yang betul untuk mencukupkan 3 x haid
suci - haid -> 1 x
suci - haid -> 2 x
suci - haid -> 3 x

๐ŸŒบ Lama waktu masa Iddah adalah 3 Quru. Sebahagian pendapat mengatakan 3 quru adalah :

3 X haid
3 Bulan
3 Bulan 10 hari (100 hari)

๐ŸŒบ Ramai orang memakai masa Iddah 3 bulan 10 hari (100 hari)

๐ŸŒบ Sebaiknya ikutilah cara tuntutan syariat kerana jika terjadi suami rujuk kepada isterinya diakhir masa tempoh Iddah menurut hukum negara dan melakukan persetubuhan ketika itu dikhuatiri akan menjadi zina di mata Allah.

Isu-isu semasa Iddah Kematian Yang Perlu Diambik Perhatian

๐ŸŒบ Hukum keluar bekerja
Dibolehkan wanita yang kematian suami keluar bekerja (atau untuk urusan lain yang perlu) asalkan ia pulang untuk bermalam di rumah suaminya selama masih dalam Iddah (4 bulan 10 hari dari tarikh kematian suami atau hingga melahirkan anak jika hamil)

๐ŸŒบ Hukum memakai hiasan
Haram ke atas wanita kematian suami berhias selama waktu Iddah.
Perhiasan diri yang dilarang seperti:
✅ berinai
✅ bersolek dll

Perhiasan pakaian dan barang kemas yang dilarang seperti:
✅ cincin
✅ gelang emas atau perak
✅ batu permata 
✅ pakaian bercorak dll





๐ŸŒบ Diharuskan berpindah
Wanita dalam Iddah boleh berpindah dari rumah yang diduduki dengan alasan takutkan ancaman keselamatan dirinya, anak dan hartanya atau terganggu/mengganggu jiran atas keberadaannya di kawasan itu.

๐ŸŒบ Wanita dalam Iddah tidak boleh keluar menziarahi anaknya.
Namun begitu jika hatinya sedih atau sunyi disebabkan kehilangan suaminya dan memerlukan teman berbual dari kalangan anaknya sendiri. Makanya dia boleh pergi ke rumah anaknya yang sangat berdekatan dengan rumahnya tanpa bermalam di rumah anaknya.

Sekiranya anaknya jauh dan tidak memungkinkan ia pulang dalam masa yang singkat, dan tiada anak lain yang dekat, dibolehkan bermalam.

Antara perkara yang diharuskan dan tidak menjadi larangan semasa dalam Iddah ialah memotong kuku dan mengemas rumah.

๐ŸŒบ Macam mana pula hubungan suami/isteri dengan bekas keluarga mertua

Adik-beradik kepada suami adalah tidak mahram.
kerana itu batasan pergaulan dengan mereka sama seperti batasan pergaulan dengan ajnabi yang lain iaitu tidak boleh buka aurat. tidak boleh bersentuhan (bersalaman) berduaan dan sebagainya

Apabila pasangan telah meninggal sekalipun tuntutan menjaga hubungan dengan keluarganya tidak sebesar ketika dia masih hidup. Namun digalakkan hubungan baik itu terus dipelihara terutamanya dengan individu yang dikasihi pasangan ketika hidup.

Baginda sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan orang yang dikasihi oleh Syaidatina Khadijah semasa hayatnya.

Sessi Tanyalah Ustaz?


1) Apakah adab wanita berIddah dalam media sosial?

Ustaz jawab: 
✅ Bukan dalam Iddah pun wanita perlu menjaga adab bersosial.
✅ Berhubung dengan keluarga diharuskan.
✅ Berhubung dengan lelaki lain - haram (kecuali dalam hal kerja yang sangat perlu)
✅ Bercakap dengan lelaki lain harus dengan syarat intonasi suara yang tidak mengghairahkan.
✅ Bagi salam diharuskan

2) Mengiringi jenazah hingga ke kubur?

Ustaz jawab:
✅ Bagi wanita dalam Iddah dinasihatkan tidak perlu ke kubur
✅ Tidak digalakkan isteri dalam Iddah ke kubur. Dikhuatiri meratap, menangis yang akan menyeksa jenazah dalam kubur. Dikhuatiri juga terjadinya percampuran antara lelaki dan wanita semasa di kawasan perkuburan.
✅Wanita lain diharuskan pergi dengan syarat menjaga batas pergaulan, menjaga aurat,tidak campur lelaki dan perempuan dan tidak meratap hiba.

✅ Ustaz juga mengulas bagaimana hukumnya menziarahi kubur di hari raya?
Ustaz jelaskan lebih baik menziarahi tempat yang mengingati kita kepada Allah iaitu kubur yang mengingatkan kita ke arah kematian yang bakal kita semua tempuhi daripada menziarahi tempat yang yang melalaikan contohnya menziarahi rumah saudara tetapi tak ingat nak solat.

3) Bergaul dengan orang lelaki di tempat kerja?

Ustaz jawab:
✅ Berwassap dan bercakap hanya untuk bidang kerja saja.

4) Bolehkah wanita dalam Iddah keluar ke majlis ilmu?

Ustaz jawab:
Harus hanya untuk ilmu fardhu ain contoh ilmu solat.
Tak harus untuk ilmu fardhu kifayah

5) Sekiranya wanita dapat tawaran haji pada tahun tersebut bolehkah ia keluar ke kursus haji?

Ustaz jawab:

Ada 2 jawapan:

1) BOLEH,
sekiranya tarikh menunaikan Haji lambat lagi (selepas tamat tempoh Iddah) atas dasar keperluan menuntut Ilmu Haji. Dengan syarat Haji yang bakal ditunaikan adalah Haji Wajib (Haji kali pertama).

Sekiranya ada peluang menuntut Ilmu Haji tersebut selepas habis Iddah, elakkan hadir sewaktu Iddah tersebut. Tangguhkan hadir kelas sehingga habis Iddahnya nanti.

2) TIDAK BOLEH,
sekiranya tarikh Hajinya menempuh waktu tempoh Iddah ( Haram menunaikan Haji dalam waktu Iddah).

Tangguhkan kelas Hajinya ke tahun hadapan. Hajinya juga perlu ditangguhkan ke tahun hadapan.

Alhamdulillah, banyak perkara perihal Iddah telah terungkai. Namun masih banyak lagi persoalan yang bermain diminda. Sebab perihal Iddah ini sekiranya tidak berlaku terhadap diri sendiri ramai yang tak ambil cakna.



Gambar kenangan bersama Yang Berbahagia Ustazah Syarifah dan Ustaz Ahmad Misbah 

Mudah-mudahan ilmu dikongsikan ini dapat manfaat anda semua. Mohon ustaz dan ustazah halalkan. Mana yang baik datangnya dari Allah dan yang kekurangannya dari diri saya sendiri dan mohon maafi.

Wallahu'alam.

Sekiranya anda suke entri saya kali ini sila tekan button SHARE dan LIKE supaya ramai lagi yang dapat manfaatnya. Nak dapat saham kubur silalah SHARE.

1 comment: