Wednesday, May 13, 2015

8 TIPS NAK DAPAT ANAK YANG SOLEH

Assalamualaikum wbt,

Apa khabar sahabat-sahabat fiezabard yang dikasihi sekalian. Saya doakan anda sihat dan ceria di samping keluarga tercinta.

Pada hari Ahad yang lalu, Alhamdulillah saya dan suami serta baby Awina berpeluang ke Surau Al-Munir, Equine Park Bandar Putra Permai, Seri Kembangan Selangor untuk mengikuti Ceramah Dhuha oleh Ustaz Badlishah, ustaz tersohor di Malaysia.

Saya sangat minat dengan setiap ceramah Ustaz Badlishah. Sama ada di corong-corong radio atau di televisyen.

Antara Ustaz yang saya gemari

Tajuk Ceramah hari ini amat menarik, nak tau apa?

Anak Soleh (Pahala Mentaati Ibu Bapa)

Ustaz Badlishah memulakan ceramahnya dengan menceritakan dari sebuah hadis yang pada suatu ketika sahabat bertanya Rasulullah "Apa amalan utama dalam Islam?"

Amalan Utama Dalam Islam

1. Solat diawal waktu
2. Berbuat baik kepada IBU BAPA
3. Jihad Fisabilillah

Lihat, buat baik kepada Ibu Bapa jatuh kepada ranking kedua mengalahkan ranking Jihad Fisabilillah. Menunjukkan bahawa, amalan berbuat baik kepada ibu bapa sangat dipandang mulia oleh Allah swt berbanding individu yang berjihad.

Jodoh Tak Sampai

Ustaz menceritakan, seorang sahabat bernama Abu Nawas adalah seorang teruna yang sangat inginkan jodoh. Setiap malam ia berdoa kepada Allah supaya dikurniakan jodoh. Pada mulanya Abu Nawas berdoa begini

1. Ya Allah, kurniakan aku jodoh yang baik.

Bertahun lamanya Abu Nawas berdoa sedemikian namun tiada jodoh baginya, hinggakan satu hari Abu Nawas menukarkan doanya begini,

2. Ya Allah, kurniakanlah ibuku menantu yang baik, yang menyenangkan ibuku dan memuliakannya.

Tidak lama kemudian, Alhamdulillah Abu Nawas diperkenankan doa oleh Allah dipertemukan jodohnya.

Moral: Kepada sesiapa yang belum sampai jodohnya eloklah ikut contoh Abu Nawas ini. Insya Allah...sampailah jodoh.

Ustaz juga ada berkongsikan:

7 Amalan Pencen Kubur
  1. Bina Masjid selagi mana masjid dimanfaatkan
  2. Mengalirkan Air Sungai.
  3. Tulis Mazhab ( Al-Quran ) walaupun tulis hanya surah Yaasin dengan tulisan sendiri.
  4. Menggali perigi selagi mana perigi itu dimanfaatkan
  5. Mengajar Ilmu - tidak semesti mengajar ilmu agama. Guru driving school pun dikira mengajar ilmu. Bagaimana guru yang nak mengajar Ilmu agama nak datang mengajar di Surau kalau tidak tahu driving. Tentunya sebelum itu ustaz dah belajar dulu dengan Guru driving school cara memandu dengan berhemah. Ini bermakna guru driving school lebih banyak pahala (ustaz berseloroh)
  6. Tanam tanaman selagi mana hasilnya dimanfaatkan.
  7. Anak-anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya.
Tips nak dapat anak yang SOLEH

Alolooo....comelnya anak soleh ni
  • Nak dapat anak yang soleh kena ikut jejak nabi.
  • Sentiasa berdoa nak dapat anak yang soleh.
  • Doa Nabi Ibrahim yang kita tahu dalam sirah bertahun lamanya dia ingin menimang cahaya mata hingga usianya dah meningkat baru dapat anak. Doanya ialah "Ya Allah, Anugerahkan aku anak yang soleh"Akhirnya, Allah kurniakan Nabi Ishak dan Nabi Ismail iaitu kedua-duanya adalah di kalangan anbiya'.
  • Nabi Zakaria juga mendoakan anak dan zuriat yang soleh.
  • Jangan cakap perkara atau perbuatan yang tak sepatutnya. Kerana percakapan Ibu Bapa itu adalah DOA.
  • Jangan cakap beruk, monyet atau king kong ke terhadap anak-anak.
  • Orang dulu-dulu bila anak-anaknya nakal mereka akan kata "Bertuah betul anak ni, mudahan nanti jadi macam Hang Tuah." kan elok sekiranya kita mendoakan mereka yang baik-baik.
  • Orang Arab pula panggil anak-anaknya yang nakal dengan panggilan 'BAHLUL'. Bahlul adalah nama orang yang cerdik zaman arab dahulu kala bernama Bahlul. Bahlul adalah seorang yang cerdik tetapi berlagak bodoh. Orang Arab mendoakan anak-anak mereka cerdik dan bijak seperti Bahlul. 
Tapi sekiranya anda perasan orang Melayu yang dibesarkan dengan filem Studio Jalan Ampas menganggap Bahlul tu sesuatu yang hina dan bodoh. Silap rupanya..

Apa itu Anak Soleh?

1. Seorang anak yang taat kepada ibu bapanya.

2. Sepintar atau sebagus manapun anak tersebut tidak bermakna sekiranya tidak taat kepada ibu bapanya.

3. Soleh bukan dinilai dari ilmu agama yang tinggi.

Nabi Ismail adalah salah satu contoh para anbiya' yang taat ibu bapanya ditahap luar biasa. Bila mana Nabi Ibrahim iaitu bapanya mendapat wahyu supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail. Disampaikan suruhan Allah itu kepada anaknya Nabi Ismail, lantas tanpa berfikir panjang, Nabi Ismail bersetuju tidak membantah.

Sebagai anak bukan sekadar lulus cemerlang dalam UPSR, SPM tetapi wajib taat kepada ibu bapanya selagi tidak melanggar hukum syariah.

3 Amalan Tidak Boleh Dipisahkan (Amalan Kembar)

1. Taat Allah Taat Rasul

    Allah Matlamat kita.
    Rasul adalah jalan menuju keredhaan Allah.

2. Dirikan Solat Tunaikan Zakat




Sekiranya hanya buat solat saja tetapi tidak berzakat, amalan solat tidak diterima. Begitu juga sekiranya zakat saja tetapi tidak mendirikan solat, zakatnya tidak diterima.

3. Syukur kepada Allah Buat Baik Kepada Ibu Bapa

Taat kepada Allah, ibu bapa jatuh ranking no. 2 selepas taat kepada Allah. Besarkan darjat ibu bapa. Sangat hampir dengan Allah.

Siapa lebih utama (perlu ditaati dahulu)? Ibu atau Bapa?

Rasulullah pernah ditanya oleh para sahabat " siapakah yang perlu aku taat ?"

Rasulullah jawab: Ibu Mu....

Sahabat bertanya lagi, siapa lagi..

Rasulullah jawab: Ibu Mu...

Sahabat bertanya lagi: Siapa selepas itu


Rasulullah jawab: Ibu Mu...

last sekali baru la Rasulullah menjawab BapaMu..

Ini pulak anak solehah ibu

Kenapa Ibu Diberi Keistimewaan Lebih Berbanding Bapa?

Dari segi biologi, ibu mengandungkan anak yang bapa tidak sama sekali boleh lakukan even bapa merayu-rayu nak beranak sekalipun.

Dalam sebuah hadis maksudnya lebih kurang begini.

"Ibu yang mengandung ini ibarat susah dalam kesusahan"

Kenapa dikatakan begitu?

1. Ibu mengandung akan mengidam

2. Ibu mengandung akan mabuk atau morning sickness

Menurut kajian Jurnal, alahan yang dialami sepanjang ibu yang mengandung akan melahirkan bayi yang mempunyai IQ yang tinggi.

Manakala, loya pula untuk mengurangkan risiko gugur.

3. Bebanan bawa perut. Cer bayangkan anda pikul 2 kg batu-bata.

4. Beri susu selama 2 tahun.

Cer bayangkan para ibu berkorban demi memenuhi tuntutan susu si bayi.
Tengok je la bayi sekarang, kalau nak menyusu bukan sopan macam bayi zaman dulu.
Dibuatnya stunt, kaki ke atas, tertonggeng sana, tertonggeng sini. Ye...betul, macam tau tau je ustaz situasi saya bila menyusukan baby Awina. Gitulah gayanya.

5. Ibu yang meninggal ketika/dalam bersalin di'makam'kan sebagai syuhada'. Maksudnya, perempuan meninggal semasa bersalin adalah mati syahid.

Tetapi, lazimnya masyarakat Melayu dahulu kala memandang hina kepada wanita yang mati bersalin. Mereka kata kalau perempuan mati bersalin, nantinya jadi Pontianak (Pompuan Mati Anak)...hahahha...kesian pompuan.

Antara Ibu dan Ayah siapa yang SANGAT SABAR?? Cer teka?



10 Tanggungjawab kepada Ibu Bapa

Sekiranya anak tidak dapat melaksanakan 10 perkara ini, bermakna tidak menjadi anak solehlah ia.

1. Menyuapkan mak makan.

2. Beri khidmat ketika diperlukan

Sekiranya ibu meminta sesuatu hajat hendaklah menjadi kewajiban anaknya memenuhi hajat ibunya itu.

Ustaz cerita, pada zaman nabi dulu ada seorang pemuda bernama Uwais yang duduk di Yaman. Dia sangat ingin berjumpa dengan Rasulullah di Madinah. Jarak Yaman dan Madinah dalam lingkungan 400km.

Dulu mana ada kenderaan seperti sekarang. Kalau Uwais nak berjumpa Rasulullah sudah tentu beliau perlu berjalan merentasi padang pasir.

Uwais ada seorang ibu yang tinggal bersama-samanya. Uwais meminta kebenaran ibunya untuk berjumpa Rasulullah.

Tetapi ibunya agak berat nak lepaskan Uwais memandangkan faktor umur dan kesihatan ibunya.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Keinginan Uwais untuk berjumpa Rasulullah amat tinggi.

Akhir sekali permintaan Uwais untuk bertemu Rasulullah diperkenankan oleh ibunya dengan syarat Uwais bawa ibunya sekali.

Uwais sangat gembira dan sangat bersetuju dengan syarat ibunya kerana memang dia berhajat untuk membawa ibunya sekali berjumpa Rasulullah.

Dalam perjalanan yang sangat panjang, ibu Uwais yang uzur tidak berdaya untuk berjalan. Uwais mendokong ibunya dalam terik panas.

Dukacita menimpa Uwais, belum pun sampai di Madinah, ibunya meninggal dunia. Uwais sangat terkilan dan sangat sedih kerana tidak kesampaian memenuhi hajat ibunya.

Sesudah selesai menguruskan jenazah ibunya, Uwais meneruskan perjalanan ke Madinah.

Bila sampai Madinah, Uwais bertanya orang sekeliling di mana Rasulullah. Orang keliling semua berpandangan sesama sendiri.

Dengan sedih, mereka kata Rasulullah dah wafat.

Uwais sangat sedih mendengar berita dukacita ini. 2 kali Uwais ditimpa kesedihan. Kematian ibunya dan tak sempat berjumpa Rasulullah.

Saidina Ali ketika itu menghampirinya hairan kenapa anak muda ini sedih yang amat.

Bila Saidina Ali dapati anak muda ini adalah Uwais, lantas Saidina Ali meminta Uwais mendoakannya.

Uwais hairan kenapalah sahabat nabi yang tersohor meminta ia mendoakannya sedangkan dia hanya orang biasa-biasa.

Ini kerana sebelum kewafatan Rasulullah, baginda menyuruh Saidina Ali jumpa Uwais dan minta Uwais doakannya.

Sedangkan ketika itu Rasulullah tak pernah kenal dan tak pernah jumpa pun Uwais.

Ya Allah, betapa besarnya individu yang sangat memuliakan ibunya. 

3. Menjawab panggilan dengan segera bila dipanggil

Pernah tak anda hadapi semasa dalam meeting, atau anda sedang sibuk di pejabat tetiba ada call dari ibu anda?

Dan anda biarkan 'Miss Call'.

Alaaa...jap lagi la aku call back. Pernah ke pernah?

Ustaz berpesan.

"No More Miss Call To Your Mother"

 Ada satu riwayat menyatakan. Rasulullah pernah berkata, sekiranya aku sedang bersolat, mak dan ayahku memanggil nescaya aku akan batalkan solatku. Namun aku tidak dapat merasai semua itu.

Kerana Rasulullah adalah anak yatim piatu, bapanya telah meninggal dalam usianya dalam kandungan lagi sedangkan ibunya meninggal semasa baginda kecil lagi.

4. Taat kepada Ibu Bapa selagi tidak menjurus kepada maksiat.

5. Bercakap dengan Ibu Bapa dengan bahasa yang sangat lembut.

6. Anak wajib berjalan di belakang Ibu Bapa.

7. Jangan panggil Ibu Bapa dengan namanya.

Contoh : " Orang tua nyanyuk ni.."

8. Setiap kali doa untuk diri sendiri, jangan lupa doakan untuk Ibu Bapa sekali.

9. Kalau mereka berhajat beli barang, anak wajib belikan selagi mana berkempuan.

10. Buat perkara yang Ibu suka.

Para hadirin khusyuk mendengar

Apa perlu buat sekiranya Ibu Bapa dah tiada?

1. Buat perkara baik dan sentiasa mendoakan mereka.

2. Menziarahi rakan-rakan mereka.

3. Sedekahkan On behalf untuk Ibu dan Ayah.

Alhamdulillah, ini adalah sedikit perkongsian Ustaz Badlishah dalam ceramah Dhuhanya kali ini selama lebih kurang 1 jam 1/2. Banyak sangat ilmu yang saya perolehi.

Sebelum bersurai saya dan sebahagian penduduk Bandar Putra Permai berkesempatan bergambar dengan ustaz favorite saya ini. Selalunya dengar dan lihat dicorong radio dan televisyen je. kali ini Alhamdulillah rasa bersyukur dapat dekatkan diri dengan Mu'alim.

Jemput jenguk warna warni Majlis.


En Badrul Hisham (my darling) dengan orang kampung dia. Sama-sama Pahang diorang ni.

Cam mimpi je dapat jumpa Ustaz favorite

Bersama-sama jemaah surau

Antara rakan muslimah yang hadir dari kiri Kak Rubi, Mimi, Saya dan Ustazah Asiah

Acara terakhir ...biasalah...makan-makan
Alhamdulillah, syukur sangat saya dapat banyak timba ilmu. Semoga ilmu ini kekal dan diamalkan.

Saya harap perkongsian saya ini dapat memberi manfaat kepada pembaca setia blog saya ini.

Sekiranya anda suka entri saya kali ini sila tekan button SHARE dan LIKE supaya lebih ramai orang dapat manfaatnya. Tambah lagi satu pencen kubur anda.

Insya Allah semoga kita sama-sama dapat manfaatnya. Sayangi dan kasihi Ibu Bapa kita.

Terima kasih kerana membaca.

Sayang Mak, Sayang Bapak.

Hafizah

~Design yourlife not by default

0 comments:

Post a Comment