Wednesday, June 18, 2014

5 TIPS ELAKKAN BERBORAK SEMASA MENGAMBIL WUDHU'

Bismillahirohmanirahim...


Assalamualaikum wbt.

Dah lama saya nak tulis entri pasal wudhu' ni tapi asyik tertangguh saja. Saya takut ilmu yang saya dapat berkarat. terpendam. terbenam langsung terkubur.

Seeloknya saya coretkan di sini untuk tatapan rakan-rakan dan saya sendiri.

Pada 15hb Jun 2014 yang lalu Allah mengizinkan saya mengikuti Kuliah Muslimah Oleh Ustazah Syarifah yang diadakan di Surau Al- Mustaqim iaitu surau di kejiranan saya LEP 7 di Seri Kembangan.


Tajuk yang dibincangkan pada hari itu ialah WUDHU' .

Bagi masyarakat islam wudhu' bukan perkataan asing bagi mereka. Tajuk macam simple kan tetapi huraiannya sangat panjang. Kuliah 2 jam pun rasa tak cukup lagi tu.

Ustazah kata, wudhu' maksudnya membasuh bahagian tertentu.

Dari segi takrifannya, wudhu' diambil dari perkataan arab Al-Wada'a yang bermaksud kebaikan dan kebersihan.

Manakala dari segi syarak (istilah) wudhu' itu membawa maksud penggunaan air yang suci pada anggota tertentu iaitu membasuh muka, tangan kedua-duanya hingga ke siku, membasuh kepala dan membasuh kedua kaki hingga ke buku lali dengan air yang suci. ( catitan dari taklimat ustazah)

Bila disyariatkan wudhu'?

Whudu' disyariatkan pada malam isra' dan mi'raj seiring dengan wajibnya solat.

Fadhilat wudhu' sangat banyak antaranya yang paling best. Sekiranya dalam keadaan marah ambillah wudhu'. Insha allah terus tak jadi marah. Sekiranya sedang memegang rotan terus letak rotan tak jadi merotan.

Ustazah ada menceritakan sekiranya di negara arab, sekiranya ada seorang sahabat dalam keadaan marah mereka tidak menenangkan sahabat tersebut supaya bersabar...bersabar... seperti masyarakat melayu amalkan. Tetapi mereka akan menyuruh sahabat yang marah itu supaya berselawat. "Allahummasoliala muhammad". Insha allah ..rasa marahnya akan reda serta merta.

Jadi, sekiranya anak atau suami kita atau diri kita sendiri dalam keadaan marah mintalah mereka "INGAT RASULULLAH" kerana nabi Muhammad rasulullah junjungan kita tak suka marah.

Teringat masa belajar kat Universiti dulu. Cengginilah kat bilik Tutorial. Tekun mendengar dan mencatit.


Hikmah Berwudhu'

Hikmah Dari Segi Saintifik.

1. Mencegah Kanser Kulit. Sebanyak 5 kali sehari kita basahi setiap lapisan kulit kita dengan air whudu'. Kulit kita akan sentiasa bersih.

2. Membersihkan mulut dapat mengelakkan kerosakan gigi dan mulut berbau.

3. Menghilangkan kotoran hidung untuk mengelakkan penyakit resdung.

4. Mencegah kedutan awal dimana wudhu' sebagai terapi anti penuaan dan dapat membersihkan mata.

5.Mencegah jangkitan kuman dimana tangan yang sentiasa terdedahkan kepada kuman persekitaran dapat dibersihkan dengan setiap kali berwudhu'

6. Membersihkan jari kaki dengan menyelati celah-celah jari kaki.

7. Menguatkan pinggang ketika menyelati jari kaki dengan membongkok.

Hikmah Dari Segi Syariat

1. Menghapus dosa

2. Meningkatkan darjat

3. Allah menjaga diri kita dari melakukan maksiat sekiranya kita berwudhu' contohnya mengumpat.

dengan syarat semasa berwudhu hendaklah berniat " Ya, Allah jauhilah aku dari mengumpat"

Sekiranya rakan kita ingin mengajak kita mengumpat, bagaimana kita nak menjawab. Ustazah ajar " Kita bersangka baik dengannya, kita doakan supaya dia dapat hidayah"

Kerana manusia hanya dibezakan antara syurga dan nerakanya hanya bila saat-saat kematiannya. Manalah tahu sedetik lagi kematiannya Allah beri hidayah kepada mereka. Kita juga yang mengumpat ni yang melopong sebab pahala kita dah diberikan kepada mereka yang kita umpat.

Satu lagi pesanan ustazah, bila wudhu' kita sempurna, solat kita juga sempurna. Wallahu'alam.

Anak-anak pun turut serta belajar. Sangat kagum dengan para Muslimah LEP7. menuntut Ilmu walaupun kena kelek baby. Caya lah!


Perkara yang wajib berwudhu'

1. Solat

2. Menyentuh dan mengangkat Al-Quran. Dalam mazhab Al-Shafie menyentuh tafsir Al-Quran juga disunatkan ambil wudhu'

3. Tawaf

Hukum Sunat Berwhudu'

1. Memperbaharui wudhu' setiap kali solat.
2. Sebelum mandi wajib. Ambil wudhu' muka, tangan, kepala kecuali kaki.
3. Selepas mandi wajib.
4. Sunat ambil wudhu' sebelum berjunub. Sunat juga berwudhu' untuk 2nd round berjunub.
5. Wanita yang bersih dari haid dan nifas tetapi belum mandi wajib lagi.
6. Sunat berwudhu' ketika marah. Kemarahan daripada syaitan. Syaitan asalnya dari api. Padamkan api dengan air wudhu'.
7. Menyentuh kitab agama dan tafsir Al-Quran.
8. Selepas menyentuh dan mengusung mayat.
9. Selepas mandikan jenazah. Sunat juga mandi.
10. Ketika hendak menuntut ilmu.
11. Apabila melakukan dosa.
12. Sunat berwudhu' selepas makan daging unta kerana daging unta agak panas ( yang ni baru daya tahu ).
13. Duduk dalam masjid.
14. Wukuf di Arafah.
15. Manziarahi makam Rasulullah.
16. Sai safa marwah.
17. Sesiapa kembali kepada Islam.
18. Cukup baligh.
19. Menziarahi kubur.
20. Mencukur kepala.
21. Sebelum berkhutbah.
22. Memegang kemaluan haiwan.

Haram Wudhu'

Haram wudhu' bagi wanita yang keluar Haid dan Nifas yang mengalir dengan banyak.

Tetapi sekiranya niat kita untuk hindarkan dari gangguan dan menjadi amalan rutin setiap hari dibolehkan.

Fardhu Wudhu'

1. Niat


"Sahaja aku berwudhu' kerana Allah Ta'ala"

2. Basuh Muka
Dari tempat tumbuh rambut hingga anak telinga hingga ke bawah dagu.
Air Wudhu' mesti  mengalir ke wajah.
 
lingkungan kawasan muka yang wajib dibasuh

3. Basuh tangan hingga ke siku.


4. Mengusap kepala
Sahabat Rasulullah pernah ternampak Rasulullah kadangkala mengusap atas serban sahaja.


Dengan bertudung pun masih boleh berwudhu' dengan syarat air sampai kepada anggota-anggota wajib wudhu'.

5. Basuh kaki.
Anggota kaki dari hujung jari kaki hingga atas buku lali
6. Tertib ( ikut turutan ).

Perkara yang disunatkan dalam berwudhu'

1. Baca bismillah.
2. Mengadap Qiblat.
3. Membasuh tapak tangan hingga pergelangan.
4. Menyilati anak jari tangan dan kaki.
5. Memasukkan air dalam hidung.
6. Bersugi (gosok gigi)
7. Berkumur-kumur 3X.
8. Dahulukan anggota kanan.
9. Menyapu seluruh kepala.
10. Menyilati janggut.
11. Membasuh secara berturut-turut.
12. Membaca doa selepas berwudhu'

Cara wudhu' dengan betul


Perkara yang menarik minat saya semasa kuliah ini dimana Ustazah berkongsikan Tips bagaimana cara mengelakkan kita berborak semasa berwudhu'. 

Almaklumlah kadangkala bila dah beramai-ramai mengambil wudhu' sudah tentu ada saja sesuatu nak diborakkan walaupun sedang mengambil whudu' sedangkan bercakap semasa berwudhu' adalah makhruh hukumnya. Adalah lebih baik mengelakkannya.

Cara Mengelakkan Berborak Semasa Berwudhu'

1. Semasa Membasuh Muka
DOA : "Ya, Allah! Putihkan mukaku di akhirat dan jangan hitamkannya."

2. Semasa Membasuh Tangan
 DOA : " Ya, Allah! Tunjukkan surat amal di tangan kananku. Jangan tunjukkan amal yang di tangan kiriku."

3. Semasa Membasuh Kepala
DOA : " Ya, Allah! bersihkan kepalaku dari sebarang kekotoran.

4. Semasa Membasuh Telinga
DOA : "Ya, Allah! Lindungilah telingaku dari mendengar sebarang perkara yang dilarang."

5. Semasa Membasuh Kaki
DOA : "Ya, Allah! Lepaskan kakiku dari Titian Siratul Mustaqim."

Agak-agak sempat ke kita nak sembang kiranya kita buat macam ni?


Akhir sekali ustazah mengajak kami berwudhu' dengan betul secara praktikalnya. Teori saja kadang tu tak dapat digambarkan. Jadi, sangat elok ustazah mempraktikkan apa yang diajar teori tadi.

Para muslimah menunggu giliran untuk praktikal mengambil wudhu' dengan betul. Sesiapa yang lulus dengan cemerlang ustazah bagi 10 markah.
Setelah selesai praktikal berwudhu' dengan cara yang betul, rata-rata para muslimah sangat arif dengan berwudhu' dan ustazah berikan 10 markah penuh kepada kami. Ada seorang kakak dapat markah extra dari ustazah kerana membaca doa dengan bersungguh-sungguh selepas berwudhu'.

Kuliah hari ini sangat best, sebab walaupun perkara berwudhu' ini selalu kita buat bila nak beribadah tetapi kita perlu sentiasa menambahkan pengetahuan kita walau sebesar zarah sekalipun. Ada perkara yang kita terlepas pandang.

Ustazah juga menegaskan sentiasa berjimat cermat semasa mengambil wudhu', macam mana tu? Air yang kita buka untuk mengambil wudhu' jangan dibuka terlalu besar. Cukuplah setakat boleh mengalirkan keseluruhan anggota wudhu'. Kerana membazir itu antara sifat syaitan.

Memperlahankan air semasa mengambil wudhu' adalah barokah

Saya doakan anda dapat manfaat dari sedikit ilmu yang dikongsikan ini.

Sekiranya anda suka entri ini sila LIKE dan SHARE kepada rakan-rakan lain supaya mereka dapat manfaatnya juga. Wallahua'alam.

Terima kasih kerana sudi membaca.

#dahaga ilmu

HAFIZAH MAHFOZ



0 comments:

Post a Comment