Pages

Saturday, April 1, 2023

Dari Dapur Kak Fieza : Roti Jala kekal lembut seharian

 

Assalamualaikum wbt.

Apa khabar sahabat fiezabard yang dikasihi? Kak Fieza doakan anda beroleh kesihatan dan kerahmatan dunia akhirat.

Kali ini Kak Fieza nak share resepi Roti Jala lembut walau dah seharian. Roti Jala ini adalah kegemaran kami sekeluarga.

Bulan ramadhan kali ni Alhamdulillah, Allah rezekikan Kak Fieza menyediakan juadah berbuka masak sendiri walaupun dalam keadaan kesuntukan masa balik dari kerja. Masa yang terhad sampai dari opis tidak mematahkan semangat Kak Fieza untuk menyediakan juadah sekeluarga walaupun juadah ringkas saja. Ini pun atas bantuan anak-anak yang dah semakin membesar.

Telah menjadi tradisi keluarga kami jarang berbuka makan nasi. Kak Fieza dah terbiasa sejak kecil lagi. Kami sekeluarga biasanya berbuka dengan juadah ringan seperti mee siam (istilah beehoon goreng untuk orang muar), mee goreng, cekodok, tauhu tempe goreng cicah sambal kicap. Jadi budaya ini telah terbawa-bawa hingga saya mendirikan rumahtangga dan sehingga sekarang berkeluarga besar. Jadi suami yang telah dibesarkan dengan berbuka nasi pun terpaksa ikut budaya Kak Fieza.

Hari ini dah masuk hari ke-10 bulan ramadhan. Setiap hari Kak Fieza sediakan menu pelbagai.

Hari ini terasa nak menjala. Lagipun roti jala adalah menu yang digemari seisi keluarga.

Dah lama tak menjala. Resepi pun dah terlupa. Buku resepi Kak Fieza pun ntah kemana. Sekarang ni apa susah. Google kan ada. Jadi, Kak Fieza klik-klik je kat handphone google resepi roti jala. 

Kak Fieza suka follow resepi aziekitchen. Banyak resepi masakan Kak Fieza belajar dari aziekitchen. Kesemua resepi masakan yang Kak Fieza follow dari aziekitchen pasti menjadi. Sukatan yang diberikan tepat dan mudah. Guna acuan cawan saja itu yang Kak Fieza suka. Tak payah guna timbang.

Jadi di sini Kak Fieza nak share resepi inspirasi Azie Kitchen. Memang menjadi. Roti jala juga lembut. Nak buat pun mudah. Bahan-bahan yang digunakan pun adalah bahan yang memang ada kat dapur anda.

 

Jom kita tengok.

Roti Jala

Bahan-bahan:

3 cawan tepung gandum

2 1/2 sudu besar minyak masak

1 sudu kecil garam

1 biji telur

3 cawan air/santan/susu segar

(Kak Fieza guna air je)

sedikit pewarna kuning

Cara-cara:

1) Blend semua bahan di atas hingga sebati.

2) Kalau nak tahu adunan boleh dijala atau belum, cuba masukkan sesenduk ke dalam acuan. Kalau keluarnya tak putus-putus maknanya dah boleh dijala. Sekiranya masih terputus-putus boleh tambah air.

3) Jalakan aduan ke atas kuali non-stick. Kalau tak ada kuali non-stick boleh juga guna kuali biasa asalkan tak melekat. Untuk elakkan melekat boleh oleskan rata sedikit minyak ke atas kuali.

4) Sekiranya adunan agak pekat boleh tambah air sehingga boleh dijala.

5) Selepas jala atas kuali biarkan dalam beberapa saat. Kalau dah masak tak payah dibalikkan. Angkat terus dan digulung. Kak Fieza malas nak gulung buat saja lipatan 3 segi seperti dalam gambar.

6) Dah siap bolehlah dimakan dengan kuah ayam/daging masak kari, masak kuzi atau tak ada semua tu , makan dengan sambal tumis ikan bilis pun sedap.

kredit to azie kitchen.

Roti jala ini sesuai sangat buat open house, makan-makan opis dah sesuai juga untuk berbuka puasa, moreh sehingga bawa ke sahur kerana roti jala ini tahan lembut lebih lama. Tak percaya tak pe, buat je. Selamat mencuba!

Sekiranya anda nak tahu menu sahur simple dan sihat. Mudah disediakan, 15 minit lagi nak imsak pun sempat bersahur. Jemput klik link >> Sahur Simple Dan Sihat (Klik Sini)

Sekiranya anda suka resepi Roti Jala Lembut dan boleh dimanfaat oleh orang lain sila SHARE dan LIKE. Mudahan mereka juga dapat manfaat dan panduan dari resepi yang share ini.

 

~ Dari Dapur Kak Fieza

                                                   

 

No comments:

Post a Comment